Saturday, September 12, 2009

Day 2: PTK: Kritikan, Hukuman dan Rungutan?


My second assignment during PTK.

KRITIKAN, HUKUMAN ATAU RUNGUTAN???

Ianya merupakan persoalan yang harus kita tanya pada diri sendiri. Sedar atau tidak, kita tidak pernah lari dari sikap ingin memberikan kritikan, hukuman dan kadang-kadang kita memang mudah untuk merungut atas setiap apa yang terjadi.

Dalam sistem pendidikan kita hari ini, kita sentiasa berdepan dengan pelajar yang bermasalah. Kita mengkritik mereka atas kelemahan mereka. Kita jatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Dan kita kadang-kadang merungut apabila kerja yang mereka hasilkan tidak mencapai standard yang kita inginkan.

Dan sesungguhnya, kritikan, hukuman atau rungutan sentiasa bermain-main di bibir kita.

Saya ingin memperdengarkan kepada anda semua satu puisi yang ditulis oleh W.Livingston Larned yang bertajuk Farther Forgets atau dalam bahasa melayu Ayah Lupa. Sebenarnya puisi ini banyak memberi kesan kepada saya dalam mendidik pelajar kita dan juga anak-anak saya sendiri. Kesabaran saya sentiasa diuji dengan tingkah laku pelajar-pelajar kita. Dan seperti biasa, kesabaran ini akan diuji lagi… dengan kerenah anak-anak di rumah. Dan apabila saya menghayati puisi yang ditulis oleh Larned ini, membuatkan saya terfikir… dan berfikir berulang kali. Dan saya ingin sekali berkongsi dengan anda di sini untuk kita sama-sama menghayati apa yang tersurat dan tersirat di dalam puisinya ini.

Namun begitu, saya telah ubah sedikit puisi ini mengikut kesesuaiannya setelah dialih bahasa. Saya akan membaca puisi ini untuk renungan kita bersama.

Dengarlah, Anakku! Aku mengatakan hal ini ketika kamu terbaring tidur. Di pipimu ada bekas cakaran kecil dan di dahimu yang lebar terdapat rambut kerintingmu yang basah.

Secara diam-diam aku memasuki bilikmu. Beberapa ketika sebelum itu, sewaktu aku membaca suratkhabar di bilik bacaan, tiba-tiba aku didatangi oleh rasa kesal yang amat sangat. Dengan perasaan bersalah itu, aku mendekati katilmu.

Dalam diri aku berkecamuk fikiran, aku telah bertindak kasar terhadapmu, anakku. Aku membentakmu sewaktu kamu memakai pakaian untuk pergi ke sekolah kerana kamu hanya mencuci muka sahaja. Aku menghukum kamu kerana tidak membersihkan kasutmu. Dan aku juga memarahimu kerana kamu menyelerakkan barang-barang di atas lantai.

Aku marah jika kamu dengan tidak sengaja memecahkan gelas. Aku akan mengkritikmu apabila melihat keputusan peperiksaanmu yang lemah. Aku merungut apabila kerja rumah yang engkau lakukan seperti melepaskan batuk ditangga. Dan aku cepat menghukummu diatas kesalahan kecil yang engkau lakukan.

Ingatkah kamu, waktu aku membaca di bilik bacaan, kamu datang dengan ketakutan dan wajahmu kelihatan seolah-olah mengalami kesakitan. Waktu itu aku sibuk membaca, kamu ragu-ragu berada di pintu. “Apa yang kamu mahu.. haa?” sergah aku.

Kamu tidak berkata apa-apa, tetapi terus berlari ke arahku dan merangkul kuat lagi mencium aku. Tangan mungilmu merengkuh dengan kelembutan yang diberikan oleh Tuhan dalam dirimu. Dan kemudian kamu pergi, meninggalkan aku.

Tidak lama selepas itu anakku, suratkhabar yang aku baca terjatuh dan tiba-tiba aku merasa cemas sekali. Apakah kebiasaan yang merasuk diriku? Kebiasaan mencari-cari kesalahan, memaksa- ahh adakah ini hadiah aku kepadamu sebagai anak lelaki. Itu bukan kerana aku tidak menyayangimu; Cuma… aku terlupa yang engkau masih lagi kecil dan aku terlupa peranan aku sendiri untuk mendidik dan membimbing dirimu,. Aku silap kerana menganggapmu telah dewasa dan matang, anakku.

Dan demikian banyak yang baik dan lembut serta benar dalam perwatakanmu. Hatimu yang kecil ternyata mencakupi luas sekali, seluas cakerawala. Ini terbukti ketika kamu secara spontan bergegas berlari dan menciumku sebagai ucapan selamat malam. Malam ini, hanya kamu yang aku fikirkan, anakku. Aku telah berada dikatilmu dalam kegelapan dan aku berlutut di situ, malu kepada diriku sendiri.

Ini memang suatu penyesalan yang lemah; aku tahu kamu tidak akan mengerti ini semua sekiranya aku katakan kepadamu. Tetapi esok aku akan bersungguh-sungguh menjadi seorang ayah! Aku akan berpadu denganmu, menderita apabila kamu menderita dan tertawa jika kamu ketawa. Aku akan cuba memahami duniamu, anakku.

Maafkan aku, anakku. Aku telah menuntut darimu terlalu banyak. Kamu masih kecil… dan kamu masih memerlukan sokongan dan tunjuk ajar dari ayahmu. Berikan aku peluang, untuk aku buktikan sesungguhnya Aku adalah Ayah yang terbaik untukmu, sayang.

Begitulah pengakhirannya puisi ini.

Sebuah kemaafan yang dituntut oleh seorang Ayah. Saya ingin bertanyakan soalan kepada anda semua. Sejauhmanakah anda boleh bersabar dengan sikap pelajar-pelajar atau anak kita yang bermasalah?

Bagaimanakah anda memujuk diri sendiri? Bagaimanakah anda memberikan kemaafan kepada mereka?

Dan bagaimanakah anda menunjukkan tanda penghargaan kepada mereka?

Saya amat menghargai jika ada di antara kalian yang boleh menjawab soalan-soalan saya ini.

Untuk kesimpulan bagi topik ini, saya petik kata-kata dari Dr Arthur I.Gates (Pendidikan Psikologi):

“Setiap orang inginkan simpati. Kanak-kanak suka menunjukkan luka-lukanya. Kadangkala mereka sengaja melukakan diri mereka untuk mendapatkan simpati tersebut. Begitu juga keadaannya dengan orang dewasa yang akan menarik perhatian kita dengan sikapnya yang memberikan masalah pada orang lain. Mereka sebenarnya inginkan perhatian”